Semoga murid capai destinasi diingini!!

Semoga murid capai destinasi diingini!!
Semoga murid capai ke destinasi diingini

Tuesday 6 December 2011

Kemahiran Berfikir Dalam Kurikulum Prasekolah


KEMAHIRAN BERFIKIR DALAM KURIKULUM PRASEKOLAH

Kanak-kanak prasekolah di Malaysia terdiri daripada kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berumur antara empat sehingga enam tahun, berbilang kaum dan keturunan serta mempunyai pelbagai latar belakang keluarga, ekonomi dan budaya. 

Kanak-kanak pada peringkat umur ini sedang memperkembangkan kemahiran berfikir. Perkembangan bahasa berkembang dengan cepat. Mereka sudah boleh memahami simbol dan sosialisasi (Debord dan Hertzler dalam Swadener, 1994). Kemahiran berfikir berkembang apabila kanak-kanak terlibat dalam aktiviti yang memberi peluang mereka menyentuh, merasa, mencampur, memusing dan mencampak. Penerokaan dan keperluan bagi menguji sikap berdikari lebih ketara pada peringkat umur di prasekolah. Berdikari adalah asas tahap emosi pada peringkat awal kanak-kanak. Belajar berdikari adalah cara kanak-kanak membentuk daya inisiatif atau motivasi yang sihat. Kanak-kanak prasekolah mengambil lebih inisiatif dan bersedia belajar serta lebih berobjektif. Mereka memerhati, main peranan dan mula mengumpul dan memproses maklumat (Satter, dalam Swadener, 1994). 

Faktor-faktor yang Mempengaruhi Pembelajaran Kanak-kanak 

Ahli-ahli konstruktivis seperti Piaget dan Vygotsky membuktikan pengetahuan dapat dibina atau dibentuk oleh individu. Pemikiran dan pembelajaran adalah ‘self-initiated’ yang semula jadi ada dalam diri kanak-kanak. Apa yang individu boleh dan akan tanggap dan tumpu ditentukan oleh kanak-kanak itu sendiri. Selain itu, faktor persekitaran juga memainkan peranan penting dalam pembelajaran kanak-kanak (Gaithersburg dan rakan-rakan, 1998). Faktor persekitaran melibatkan penyampaian guru, aktiviti yang disediakan, bahan yang digunakan dan peluang interaksi kanak-kanak dengan guru, rakan dan bahan. Dengan itu, kedua-dua faktor semula jadi dan rangsangan atau pengaruh persekitaran saling bantu-membantu dalam mempengaruhi perkembangan kognitif kanak-kanak.
 Pengajaran dan pembelajaran disusun supaya guru dapat menyampaikan maklumat yang membolehkan kanak-kanak berfikir dan belajar dengan mengambil kira perkembangan kognitif kanak-kanak dan faktor persekitaran. Kebolehan kanak-kanak belajar pula bergantung pada persepsi, penumpuan, bermain, berkomunikasi dan mengingat maklumat yang disampaikan (Gaithersburg dan rakan-rakan, 1998). Persepsi atau tanggapan kanak-kanak adalah terhad. Kanak-kanak menanggap sesuatu objek dan idea sebagai ‘dichotomous’ (bahagian atau jenis); iaitu sesuatu itu sama ada seperti ‘cara ini’ ataupun ‘cara itu’, ‘betul’ ataupun ‘salah’, ‘baik untuk kamu’ ataupun ‘tidak baik untuk kamu’. Penumpuan Kanak-kanak hanya boleh bertumpu pada satu ataupun dua objek pada satu masa. 

Berfikir adalah ‘object-oriented’, fizikal dan kerap berfokus pada visual. Apabila kanak-kanak didedahkan kepada objek konkrit yang baru, maka proses mengorganisasikan pemikiran dan tingkah laku ke atas objek bermula. Dengan ini, bagi menarik tumpuan kanak-kanak supaya berlaku pembelajaran, maka sesuatu yang konkrit, baru, dapat dilihat dan menarik perhatian perlu dipersembahkan. 

Bermain Sambil belajar

Aktiviti kanak-kanak ialah bermain. Bermain membolehkan kanak-kanak mencuba skema yang dapat membentuk keyakinan dan penguasaan. Dengan melakukan pengulangan, kanak-kanak berpeluang menjelajah dan menguji maklumat baru, mengkategorikan dengan betul di dalam ingatan untuk kegunaan masa akan datang. Bermain perlu dijalankan dengan peraturan yang adil dan konsisten. Peraturan perlu jelas dan diulang-ulang. Semasa bermain, kanak-kanak cuba memahami hubungan sebab dan akibat, membuat keputusan, penilaian dan akibat daripada interaksi dan bermain dalam persekitaran sosial. Masa yang mencukupi diperlukan bagi memberi peluang kepada kanak-kanak memperoleh pengalaman pembe-lajaran secara maksimum, berinteraksi dan menyelesaikan masalah. 

Berkomunikasi

Berkomunikasi adalah asas yang penting bagi kanak-kanak memperoleh maklumat gaya hidup sihat. Sesuatu perkataan pada mulanya ditanggapi dan dibawa pada perhatian kanak-kanak daripada guru, ibu bapa ataupun ahli komuniti. Nama sesuatu  benda baru perlu diulang-ulang sehingga sebati dan tersimpan untuk pemikiran akan datang. Berkomunikasi adalah kemahiran yang terbentuk daripada bermain. Mereka berlatih teknik berkomunikasi melalui bermain, kerja berkumpulan dan interaksi dengan guru. Mengingat Pelbagai strategi boleh digunakan bagi memperoleh ingatan jangka pendek dan jangka panjang, misalnya mengingat kembali, mengulang dengan pelbagai cara, nyanyian dan lakonan ataupun latihan pengalaman lalu. Perkaitan antara objek, peristiwa dan gambar adalah penting dalam menstruktur ingatan. Strategi lain bagi membentuk perkaitan adalah dengan membayangkan sesuatu dan kaitkan dengan apa yang dilihat, di mana berlaku dan sebagainya. Dengan cara ini, kanak-kanak dapat membuat hubung kait yang bermakna. 

Guru harus ketahui ‘pembelajaran adalah satu proses dan hasil’. Proses berkaitan di antara kanak-kanak dengan maklumat. Manakala hasil adalah ukuran maklumat yang diingat kembali untuk kegunaan masa depan. Pembelajaran dilihat sebagai proses dalaman. Dengan itu, program dirancang supaya kanak-kanak belajar dengan cara ‘self-discovery’, iaitu meneroka maklumat baru yang dapat merangsang rasa ingin tahu kanak-kanak. Guru mempengaruhi pembelajaran kanak-kanak dengan menggalakkan mereka meneroka sendiri. Peranan guru sebagai pembimbing penting bagi membantu kanak-kanak berfikir daripada satu tahap ke tahap yang lebih tinggi selepas menguasai sesuatu konsep. Selain itu, kepentingan rangsangan daripada persekitaran budaya sosial mencabar kanak-kanak dengan maklumat baru yang boleh diterjemahkan ke dalam pemikiran.

No comments:

Post a Comment